Photobucket
!أهلا وسهلا Ya Allah, sesungguhnya aku mulai sedar bahawa betapa berharganya nikmat nafas yg Engkau beri ini. Kerana tanpa nikmatMu ini, mgkin tdk akn ku merasai manisnya ibadahku utkMu. Ya Rahman Ya Rahim, andai ada lg rezeki bgku, ckupknlh shgga bertemunya diriku dgn pengakhiran Khusnul Khatimah. Amin.. Moga kalian dpt mengambil manfaat coretan dr blog nie..

Monday, May 9, 2011

Ilmu Yang Bermanfaat

 
العِلْمُ النَّافِعُ هُوَ الَّذِي يَنْبَسِطُ فِي الصَّدْرِ شُعَاعُهُ، وَيُكْشَفُ بِهِ عَنِ الْقَلْبِ قِنَاعُهُ
“Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang terpancar atau terhampar cahayanya di dalam dada, dan yang membuka atau menyingkap hijab hati.”
Terdapat beberapa pentakrifan ulama’ tentang makna ilmu yang bermanfaat. Ibnu Ajibah r.a mentakrifkan makna ilmu di sini, iaitu ilmu yang bermanfaat dan juga ilmu qulub (hati), dengan ilmu, ilmu yang membersihkan hati dari segala kekotoran dan menghiasi hati dengan kemuliaan.
Ataupun dalam erti kata lain, ilmu takhliah (mengosongkan hati dan anggota jasad dari kekotoran dan keaiban) dan tahliyyah (menghiasi hati dan anggota jasad dengan kebaikan).
Maka ilmu seperti ini membicarakan tentang keaiban atau kecelaan nafsu, keaiban hati, ruh dan sir bagi tujuan pembersihan segala yang telah disebutkan.
Apabila seseorang itu telah bersih dari segala keaiban tersebut, maka barulah ia dihiasi dengan sifat-sifat kesempurnaan. Iaitu, keimanan, keyakinan, ketenangan, muraqabah dan musyahadah. Bahkan juga, ia dihiasi dengan akhlak yang terpuji seperti berlemah-lembut, belas kasihan, pemurah, ithar dan lain-lain lagi.
Maka cahaya ilmu yang terpancar dan bersinar di dalam hati ialah salji keyakinan, kedinginan redha dan taslim (penyerahan kepada Allah) dan kemanisan iman dan makrifah. Daripada cahaya-cahaya ini tumbuhnya perasaan gerun, takut dan malu kepada Allah, melahirkan rasa tenang dan akhlak-akhlak terpuji yang lain.
Kegelapan yang tersingkap dan terbuka dari hati ialah kelalaian. Ia berpunca daripada sifat redha terhadap nafsu yang disebabkan oleh kecintaan terhadap dunia yang merupakan punca segala kejahatan. Orang yang mencintai dunia akan lahir daripadanya sifat hasad, takaabur, kedekut, bakhil, cintakan pangkat dan jawatan, bersikap kasar, gundah gulana dan sifat-sifat tercela yang lain.
Justeru, apabila sifat-sifat yang tercela ini tersingkap dan tersingkir dari hati, maka akan terhampar dan terpancar di dalam hati tersebut cahaya ilmu seperti yang telah dsebutkan di atas. Ilmu dan pengetahuan tentang Allah ialah cahaya di dalam hati. Daripadanya akan menerbitkan cahaya yang terdampar di dalam dada, lalu melahirkan sifat zuhud terhadap dunia. Apabila seseorang itu telah bersifat zuhud terhadap dunia, hatinya akan diluaskan dan dilapangkan dengan keyakinan, keredaan, taslim dan sifat-sifat kebaikan yang lain. Maka sekiranya, kata hikmah ini mendahulukan penyucian hati daripada menghiasinya adalah lebih baik.
Namun sekiranya mengikut tertib yang disusunkan oleh Sheikh Ibnu ‘Athoillah As Sakandari r.a , maka diandaikan maksud “cahaya yang terdampar di dalam hati” ialah cahaya Islam dan iman. Manakala “kegelapan yang terbuka dari hati” ialah hijab lahiriah dan kegelapan alam yang terbuka dan tersingkir dari hatinya lalu menerbitkan cahaya munawajah iaitu cahaya ihsan dan rahsia-rahsia makrifah. Susunan seperti ini juga adalah baik.
Bersesuaian dengan susunan ini juga Ibnu ‘Abbad r.a. menyebut di dalam kitab Ghaith al Mawahib al ’Aliyah, bahawa ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah, sifat-sifatNya, nama-namaNya, cara-cara mengabdikan diri kepadanya dan beradab di hadapannya. Maka inilah ilmu yang terpancar cahayanya di dalam hati lalu membuka dan melapangkan hati untuk menerima Islam, dan menyingkap kegelapan lalu menghapuskan daripadanya keraguan dan syak wasangka.
Oleh sebab itu, Nabi Daud a.s. bersabda :
الْعِلْمُ فِي الصَّدْرِ كَالْمِصْبَاحِ فِي الْبَيْتِ
“Ilmu di dalam dada bagaikan lampu di dalam rumah’
Abu Muhammad Abdul Aziz al Mahdawi r.a. berkata : “Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu masa, ilmu membersihkan hati, ilmu yang membawa sifat zuhud di dunia, mendekatkan kepada syurga, menjauhkan dari neraka, mendatangkan perasaan takut dan mengharapkan kepada Allah dan ilmu tentang keaiban dan pembersihan nafsu. Inilah ilmu yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati hamba-hambaNya yang dikehendaki, selain daripada ilmu lisan, manqul (al Quran dan Hadis) dan ma’qul (akal).”
Imam Malik ibn Anas r.a. juga pernah berkata :
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، وَإِنَّمَا هُوَ نُوْرٌ يَقْذِفُهُ اللهُ تَعَالَى فِي الْقُلُوْبِ
“Bukanlah ilmu itu dengan banyak meriwayatkannya, tetapi ilmu itu ialah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati.”
Manfaat ilmu itu ialah untuk mendekatkan seseorang hamba kepada Tuhannya dan menjauhkannya daripada melihat dirinya. Inilah puncak kebahagiaan dan keinginan seorang hamba. Sehubungan dengan itu, Imam Junaid r.a. pernah mengatakan :
الْعِلْمُ أَنْ تَعْرِفَ رَبَّكَ، وَلاَ تَعْدُوْ قَدْرَكَ
“Ilmu itu ialah kamu mengenal Tuhanmu dan tidak melampaui kedudukan dirimu (selaku hamba).”
Iaitu dengan melakukan adab yang baik.
Ternyata, ibarat yang ringkas dan padat ini telah merangkum makna ilmu sufi, iaitu mengenal Allah dan beradab di hadapannya. Ilmu ini sepatutnya didalami dan diselami oleh setiap insan sepanjang umurnya.
Oleh sebab peripentingnya ilmu ini, Imam Abu Hasan al Syazuli r.a. mengingatkan dengan katanya :
مَنْ لَمْ يَتَغَلْغَلْ فِي هَذِهِ الْعُلُوْمِ مَاَت مُصِرًّا عَلَى الْكَبَائِرِ وَهُوَ لاَ يَعْلَمُ
“Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang ilmu ini (ilmu sufi), nescaya dia akan mati dalam keadaaan berterusan melakukan dosa besar, sedangkan dia tidak mengetahuinya.”
Justeru, berusahalah untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat dan mintalah perlindungan daripada ilmu yang tidak bermanfaat kerana di dalam sebuah Khabar yang masyhur, Rasulullah s.a.w bersabda :
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ
“ Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”
* Kata-kata hikmah ini diambil daripada kitab karangan al-Allamah Ibn Ataillah as-Sakandari yang berjudul “Syarah Hikam Ibn Ataillah as-Sakandari”. Semoga Allah kitab-kitab karanganya menjadi pedoman manusia hinggalah hari kiamat. Insyaallah

No comments:

Post a Comment