Photobucket
!أهلا وسهلا Ya Allah, sesungguhnya aku mulai sedar bahawa betapa berharganya nikmat nafas yg Engkau beri ini. Kerana tanpa nikmatMu ini, mgkin tdk akn ku merasai manisnya ibadahku utkMu. Ya Rahman Ya Rahim, andai ada lg rezeki bgku, ckupknlh shgga bertemunya diriku dgn pengakhiran Khusnul Khatimah. Amin.. Moga kalian dpt mengambil manfaat coretan dr blog nie..

Monday, May 9, 2011

KONSEP PEMAKANAN DALAM ISLAM

Tafsir surah Al-Baqarah ayat 168


Allah telah memerintahkan umatNya untuk meneliti setiap makanan dan minuman supaya pengambilnya mengikut syariat Islam dan tidak melanggar hukum syarak. Bahkan perintahNya lebih jelas iaitu hanya boleh mengambil makanan dan minuman yang berunsur dari sumber yang baik dan berkhasiat dan bersumberkan yang halal lagi suci.
Selaras dengan firman Allah s.w.t :
يأيها الناس كلوا مما في الأرض حلال طيبا ولا تتبعوا خطوات الشيطان  إنه لكم عدو مبين 
Maksudnya:
Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
                                                                          Al-Baqarah (2): 168

               
Berdasarkan firman Allah s.w.t , pemilihan makanan kita seharian amatlah berkait rapat dengan kesan  pembentukan jiwa seseorang.  Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa rahmat Allah s.w.t  meliputi  ke atas seluruh alam. Ini bermakna, orang-orang yang bukan Islam juga boleh dapat merasai akan rahmat Allah s.w.t. tetapi, bagi mereka yang beriman, mereka perlulah menitikberatkan ciri makanan yang mereka ambil itu adalah halal kerana ianya halal lagi baik bagi mereka.

Dalam Kitab Tafsir al-Jalalain menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah difahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga suci  daripada pelbagai segi, sama ada pada bahan campurannya mestilah bersih dan selamat dalam proses penyediaannya serta dapat memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. Makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian bagi amalan yang akan diterima oleh Allah s.w.t.  Orang yang beriman digesa agar segala amalannya bersih kerana jiwa dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih. Sumbernya pula mestilah halal dan tubuh badannya dijauhi daripada hiasan pakaian yang bersumberkan haram. 

Selain itu, penulis menerangkan dalam ayat ini bahawa, setiap apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. itu semuanya berbahaya, dan setiap apa yang dihalalkan itu semestinya baik bagi mereka yang beriman. Ini bermakna, halalan toyyiba yakni halal dan baik itu merupakan salah satu daripada rahmat Allah s.w.t yang luas tanpa mengira makhluknya itu beriman atau tidak. Terpulang pada individu untuk menerima rahmat Allah s.w.t atau tidak.

Terdapat segolongan orang yang tidak boleh menerima perintah dan larangan Allah s.w.t dengan menjadikan isu alam sebagai suatu pertanyaan. Sekiranya kita melihat sesuatu yang diharamkan Allah s.w.t tidak mendatangkan mudarat pada makhlukNya, maka janganlah pula kita mengingkariNya. Pasti ada sebab dan peranannya  yang tersendiri mengapa Allah s.w.t mengharamkan sesuatu dan mengapa Allah s.w.t menciptakan sesuatu makhluk itu, dan mengapa pula kita tidak boleh menghalalkan sesuatu yang haram dan juga tidak boleh mengharamkan sesuatu yang halal. Sebagai contoh, ular adalah binatang yang haram dimakan. Walaupun ianya haram dimakan tetapi Allah s.w.t mencipta ular kerana ia memberi manfaat pada manusia sebagai pembasmi tikus pengganggu tanaman padi yang cukup ganas di sawah. Kita tidak boleh menjadikan bisa ular yang mana boleh dijadikan sebagai penawar itu sebagai alasan untuk menghalalkan kita untuk  memakan ular tersebut.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, apa yang Allah s.w.t sarankan mempunyai sebab tersendiri. Yang dimaksudkan dengan mengikut jejak langkah syaitan ialah melakukan perkara yang syaitan suka seperti benda-benda yang kotor. Sekiranya kita memakan makanan yang kotor baik dari segi sumber, proses penyediaan dan jenis makannnya, ini bermakna kita telah mengikut jejak langkah syaitan.  

Dalam ayat ini, Allah s.w.t menyebut “wahai manusia” bukan “wahai orang beriman”. Ini bermakna Allah s.w.t memerintahkan kepada seluruh manusia tidak kira seseorang itu beriman atau tidak, supaya mengambil sesuatu yang halal dan baik serta tidak mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan merupakan musuh seluruh manusia. Selain itu, kita tidak boleh membiarkan makanan dari terdedah, sebaliknya makanan tersebut perlulah sentiasa tertutup dan disimpan di tempat yang bersih supaya makanan tersebut tidak dimasuki serangga. Makanan yang sering terdedah juga akan diludah oleh syaitan dan menyebabkan hati menjadi gelap dan mempengaruhi pembentukan jiwa menjadi negatif. Kita perlu mengikut perintah Allah s.w.t tanpa perlu mempersoalkan setiap apa yang disarankan oleh Allah s.w.t. Kesannya, hati kita akan menjadi bersih, mudah untuk melakukan kebaikan dan ibadah serta jiwa akan menjadi tenang dan damai. Segala amalan yang dilakukan akan diterima oleh Allah s.w.t. dan sekalian makhluk akan menyayangi kita. 

Penganugerahan Tasbih Dan Kefahamannya


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan penerus perjuangan Baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.
Ramai di kalangan kita yang masih belum mengetahui penggunaan tasbih, sama ada ianya berasal daripada sunah ataupun sebaliknya. Sama-sama kita ikuti perbahasannya, semoga ianya memberi faedah dan kefahaman kepada kita, insya-Allah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi, al Nasaei dan al Hakim, dan ia disahihkan daripada Ibnu Amru s.a.w , beliau berkata :
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْقِدُ التَّسْبِيْحَ بِيَدِهِ
“Saya melihat Nabi s.a.w. mengira tasbih dengan tangannya.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi dan al Hakim daripada Yusirah r.a. – beliau salah seorang wanita muhajirin – berkata : Sabda Rasulullah s.a.w. :
عَلَيْكُنَ بِالتَّسْبِيْحِ وَالتَّهْلِيْلِ وَالتَقْدِيْسِ، وَلاَ تَغْفَلْنَ فَتَنْسَيْنَ التَّوْحِيْدِ، وَاعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنـَّهُنَ مَسْئُوْلاَتٌ وَمُسْتَنْطَقَاتٌ
“Hendaklah kalian sentiasa bertasbih, bertahlil dan mensucikan Allah. Jangan sekali-kali kalian lalai maka kalian akan lupa kepada tauhid. Hendaklah kalian mengiranya dengan hujung-hujung jari kerana ia akan disoal dan akan berkata-kata (paad hari Kiamat kelak).”
Diriwayatkan oleh al Tirmizi, al Hakim dan al Tabrani daripada Safiyyah r.a. berkata:
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk menemui saya, sedang di hadapan saya terdapat 4000 biji-biji buah tamar yang saya gunakan untuk bertasbih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apakah ini, wahai anak perempuan Huyai?” Saya menjawab, “Saya bertasbih dengannya.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya saya telah bertasbih semenjak saya meninggalkan kamu lebih banyak daripada ini.” Saya berkata, “Ajarlah saya, wahai Rasulullah s.a.w.? Rasulullah s.a.w, “Sebutlah :
سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ مِنْ شَيْءٍ
“Maha suci Allah sebanyak bilangan segala yang diciptakanNya dari segala sesuatu.” Hadis ini juga adalah sohih.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al Tirmizi; beliau menyatakan hadis ini bertaraf hasan, al Nasae, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al Hakim; beliau mensohihkannya daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. :
“Pada suatu hari, beliau bersama Nabi s.a.w. masuk ke rumah seorang wanita. Di hadapannya terdapat biji-biji yang digunakan untuk bertasbih. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,”Adakah kamu mahu saya khabarkan kepada kamu apa yang lebih mudah bagi kamu dan lebih afdhal daripada ini?” Sebutlah :
سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِي السَّمَاءِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِيْ الْأَرْضِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا بَيْنَ ذَلِكَ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا هُوَ خَالِقٌ، اللهُ أَكْبَرُ مِثْلُ ذَلِكَ، وَالْحَمْدُ للهِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ مِثْلُ ذَلِكَ
“Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di langit. Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di bumi. Maha suci Allah sebanyak kejadian Allah di antara kedua-duanya. Maha suci Allah sebanyak bilangan Dia adalah penciptanya. Allah Maha Besar seperti itu juga. Segala puji bagi Allah seperti itu juga. Tiada Tuhan melainkan Allah seperti itu juga. Tiada kekuatan melainkan pertolongan Allah seperti yang demikian itu juga.”
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al Zuhd, telah menyampaikan kepada kami ‘Affan, telah menyampaikan kepada kami Abdul Wahid ibn Ziyad daripada Yunus ibn ;Abid daripada bondanya berkata ;
رَأَيْتُ أَبَا صَفِيَّةَ – رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ جَارَنَا – قَالَتْ : فَكَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى
“Saya telah melihat Abu Sofiyyah r.a. – seorang lelaki dari sahabat Nabi s.a.w. dan dia adalah jiran kami. Beliau berkata, “Beliau sentiasa bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”
Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Hakim ibn al Dailami:
أَنَّ سَعْدَ بْنِ أَبِيْ وَقَّاصٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى
“Sesungguhnya Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam al Musannaf, daripada hamba Sa’ad r.a bahawa Sa’ad r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil atau pun biji-biji buah.
Berkata Ibnu Sa’ad di dalam al Tabaqaat : “Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidillah ibn Musa, telah menceritakan kepada kami Israil daripada Jabir r.a. daripada perempuan yang telah menceritakan kepadanya, daripada Fatimah binti al Husain ibn Ali ibn Abi Talib r.a, bahawa beliau bertasbih dengan menggunakan benang yang disimpul.
Diriwayatkan oleh Abdullah ibn al Imam Ahmad di dalam Zawaid al Zuhd dari jawaln Nu’aim ibn Muhriz ibn Abi Hurairah daripada datuknya Abu Hurairah r.a , bahawa beliau mempunya benang yang terdapat padanya dua ribu simpulan. Maka beliau tidak tidur melainkan setelah bertasbih dengannya.
Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam al Zuhd, telah menceritakan kepada kami Miskin ibn Nakir, telah menceritakan kepada kami Thabit ibn ‘Ajlan daripada al Qasim ibn Abdur Rahman, berkata :
Bahawa Abu Darda’ r.a. mempunyai biji-biji tamar ‘ajwah di dalam uncangnya. Apabila beliau solat Subuh, beliau akan mengeluarkannya satu persatu untuk bertasbih dengannya sehinggalah biji-biji itu habis.
Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Abi Hurairah r.a., bahawa beliau sering bertasbih dengan biji-biji yang bercampur warna hitam dan putih.
Al Dailami menyebut di dalam Musnad Firdaus dengan sanadnya sehingga kepada Ali r.a. (marfu’):
نِعْمَ الْمُذَكِّرُ السُّبْحَةُ
“Sebaik-baik benda yang boleh mengingatkan kepada Allah ialah tasbih.”
Diriwayatkan dari jalan Abi Nadhrah daripada seorang lelaki daripada al Zafawah berkata:
“Saya singgah di rumah Ibrahim r.a. dan bersamanya terdapat sebuah uncang yang berisi batu-batu kecil- atau biji-biji buah. Maka beliau bertasbih dengannya sehingga habis.”
Diriwayatkan daripada Zadan berkata : Saya mengambil daripada Ummu Ya’fur tasbih-tasbihnya. Apabila saya menemui Ali r.a. beliau berkata ; “Kembalikan semula tasbih-tasbih Ummu Ya’fur.”
Di dalam kitab Tahfah al ‘Ibad dan kitab karangan mutakhir pada zaman al Jalal al Bulqini fasal yang baik mengenai tasbih. Pengarang berkata di dalam kitab tersebut sebagaimana nasnya:
Berkata sebahagian ulama: Mengira tasbih dengan hujung-hujung jari lebih afdhal daripada tasbih berdasarkan hadis Ibnu Umar r.a. Tetapi dikatakan: Sekiranya orang yang bertasbih aman daripada tersalah maka mengira dengan hujung-hujung jari lebih afdhal. Sekiranya tidak, menggunakan tasbih lebih utama.
Sekiranya menggunakan tasbih tidak ada kelebihannya melainkan hanya mengikut perbuatan para sadah (ulama’), untuk masuk ke dalam perjalanan mereka dan mendapat keberkatan mereka, sudah tentu penggunaan tasbih dengan perkiraan ini antara perkara yang terpenting dan sangat dituntut. Kenapa tidak? Kerana tasbih merupakan alat yang mengingatkan seseorang kepada Allah. Apabila seseorang itu melihat tasbih, maka dia akan mengingati Allah. Ini adalah sebesar-besar faedah tasbih. Oleh sebab itulah, sebahagian salaf menamakannya muzakkirah (pengingat kepada Allah). Ada yang menamakannya Habl al Wasl (tali yang menyampaikan kepada Allah), manakala sebahagian yang lain menamakannya sebagai Rabitah al Qulub (Pengikat/Penambat Hati dengan Allah).
Di antara faedah tasbih juga, ia membantu seseorang supaya sentiasa kekal berzikir. Setiap kali dia melihatnya, dia akan ingat bahawa ia adalah alat untuk berzikir. Maka ia akan memandu dan menariknya supaya berzikir. Alangkah baiknya, sebab yang menyampaikan seseorang kepada ingatan kepada Allah. Begitu juga contohnya, dengan penggunaan tongkat yang mana mengingatkannya kepada kematian, kerana penggunaan tongkat itu biasanya dinisbahkan kepada orang-orang tua yang kurang berupaya dan akan mengalami saat kematian. Ini akan menginsafkan pengguna tongkat tersebut, lalu memperbanyakkan amalannya kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah dinaqalkan walau dari seorang Salaf mahupun Khalaf tegahan atau larangan daripada membilang zikir dengan tasbih, bahkan kebanyakan mereka membilangnya dengan menggunakan tasbih. Mereka juga tidak pernah berpendapat bahawa ia perbuatan yang makruh.
Diceritakan, sebahagian daripada mereka mengira-ngira tasbih mereka. Maka dikatakan kepada mereka, “Adakah kamu berkira-kira dengan Allah?” Jawabnya, “Tidak, tetapi saya mengira untuk Allah.”
Maksudnya, kebiasaannya kebanyakan zikir yang dikira dan didatangkan oleh Sunah yang mulia tidak dapat dikira hanya dengan menggunakan jari-jari. Jika ia dapat dikira dengan jari sekalipun, sudah pasti seseorang itu akan disibukkan dengan kiraanya sehingga menghilangkan kekhusyukan berzikir. Inilah maksudnya. Wallahu A’lam.
(Kitab bertajuk tasbih karangan Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki)
(Kitab asal bertajuk al Minhah fi al Subhah karangan Al Imam Al Hafiz Jalaluddin As Suyuti r.h )
(Diolah sedikit daripada hamba yang hina ini dan mengharapkan ilmu daripadaNya)

Ilmu Yang Bermanfaat

 
العِلْمُ النَّافِعُ هُوَ الَّذِي يَنْبَسِطُ فِي الصَّدْرِ شُعَاعُهُ، وَيُكْشَفُ بِهِ عَنِ الْقَلْبِ قِنَاعُهُ
“Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang terpancar atau terhampar cahayanya di dalam dada, dan yang membuka atau menyingkap hijab hati.”
Terdapat beberapa pentakrifan ulama’ tentang makna ilmu yang bermanfaat. Ibnu Ajibah r.a mentakrifkan makna ilmu di sini, iaitu ilmu yang bermanfaat dan juga ilmu qulub (hati), dengan ilmu, ilmu yang membersihkan hati dari segala kekotoran dan menghiasi hati dengan kemuliaan.
Ataupun dalam erti kata lain, ilmu takhliah (mengosongkan hati dan anggota jasad dari kekotoran dan keaiban) dan tahliyyah (menghiasi hati dan anggota jasad dengan kebaikan).
Maka ilmu seperti ini membicarakan tentang keaiban atau kecelaan nafsu, keaiban hati, ruh dan sir bagi tujuan pembersihan segala yang telah disebutkan.
Apabila seseorang itu telah bersih dari segala keaiban tersebut, maka barulah ia dihiasi dengan sifat-sifat kesempurnaan. Iaitu, keimanan, keyakinan, ketenangan, muraqabah dan musyahadah. Bahkan juga, ia dihiasi dengan akhlak yang terpuji seperti berlemah-lembut, belas kasihan, pemurah, ithar dan lain-lain lagi.
Maka cahaya ilmu yang terpancar dan bersinar di dalam hati ialah salji keyakinan, kedinginan redha dan taslim (penyerahan kepada Allah) dan kemanisan iman dan makrifah. Daripada cahaya-cahaya ini tumbuhnya perasaan gerun, takut dan malu kepada Allah, melahirkan rasa tenang dan akhlak-akhlak terpuji yang lain.
Kegelapan yang tersingkap dan terbuka dari hati ialah kelalaian. Ia berpunca daripada sifat redha terhadap nafsu yang disebabkan oleh kecintaan terhadap dunia yang merupakan punca segala kejahatan. Orang yang mencintai dunia akan lahir daripadanya sifat hasad, takaabur, kedekut, bakhil, cintakan pangkat dan jawatan, bersikap kasar, gundah gulana dan sifat-sifat tercela yang lain.
Justeru, apabila sifat-sifat yang tercela ini tersingkap dan tersingkir dari hati, maka akan terhampar dan terpancar di dalam hati tersebut cahaya ilmu seperti yang telah dsebutkan di atas. Ilmu dan pengetahuan tentang Allah ialah cahaya di dalam hati. Daripadanya akan menerbitkan cahaya yang terdampar di dalam dada, lalu melahirkan sifat zuhud terhadap dunia. Apabila seseorang itu telah bersifat zuhud terhadap dunia, hatinya akan diluaskan dan dilapangkan dengan keyakinan, keredaan, taslim dan sifat-sifat kebaikan yang lain. Maka sekiranya, kata hikmah ini mendahulukan penyucian hati daripada menghiasinya adalah lebih baik.
Namun sekiranya mengikut tertib yang disusunkan oleh Sheikh Ibnu ‘Athoillah As Sakandari r.a , maka diandaikan maksud “cahaya yang terdampar di dalam hati” ialah cahaya Islam dan iman. Manakala “kegelapan yang terbuka dari hati” ialah hijab lahiriah dan kegelapan alam yang terbuka dan tersingkir dari hatinya lalu menerbitkan cahaya munawajah iaitu cahaya ihsan dan rahsia-rahsia makrifah. Susunan seperti ini juga adalah baik.
Bersesuaian dengan susunan ini juga Ibnu ‘Abbad r.a. menyebut di dalam kitab Ghaith al Mawahib al ’Aliyah, bahawa ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah, sifat-sifatNya, nama-namaNya, cara-cara mengabdikan diri kepadanya dan beradab di hadapannya. Maka inilah ilmu yang terpancar cahayanya di dalam hati lalu membuka dan melapangkan hati untuk menerima Islam, dan menyingkap kegelapan lalu menghapuskan daripadanya keraguan dan syak wasangka.
Oleh sebab itu, Nabi Daud a.s. bersabda :
الْعِلْمُ فِي الصَّدْرِ كَالْمِصْبَاحِ فِي الْبَيْتِ
“Ilmu di dalam dada bagaikan lampu di dalam rumah’
Abu Muhammad Abdul Aziz al Mahdawi r.a. berkata : “Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu masa, ilmu membersihkan hati, ilmu yang membawa sifat zuhud di dunia, mendekatkan kepada syurga, menjauhkan dari neraka, mendatangkan perasaan takut dan mengharapkan kepada Allah dan ilmu tentang keaiban dan pembersihan nafsu. Inilah ilmu yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati hamba-hambaNya yang dikehendaki, selain daripada ilmu lisan, manqul (al Quran dan Hadis) dan ma’qul (akal).”
Imam Malik ibn Anas r.a. juga pernah berkata :
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، وَإِنَّمَا هُوَ نُوْرٌ يَقْذِفُهُ اللهُ تَعَالَى فِي الْقُلُوْبِ
“Bukanlah ilmu itu dengan banyak meriwayatkannya, tetapi ilmu itu ialah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati.”
Manfaat ilmu itu ialah untuk mendekatkan seseorang hamba kepada Tuhannya dan menjauhkannya daripada melihat dirinya. Inilah puncak kebahagiaan dan keinginan seorang hamba. Sehubungan dengan itu, Imam Junaid r.a. pernah mengatakan :
الْعِلْمُ أَنْ تَعْرِفَ رَبَّكَ، وَلاَ تَعْدُوْ قَدْرَكَ
“Ilmu itu ialah kamu mengenal Tuhanmu dan tidak melampaui kedudukan dirimu (selaku hamba).”
Iaitu dengan melakukan adab yang baik.
Ternyata, ibarat yang ringkas dan padat ini telah merangkum makna ilmu sufi, iaitu mengenal Allah dan beradab di hadapannya. Ilmu ini sepatutnya didalami dan diselami oleh setiap insan sepanjang umurnya.
Oleh sebab peripentingnya ilmu ini, Imam Abu Hasan al Syazuli r.a. mengingatkan dengan katanya :
مَنْ لَمْ يَتَغَلْغَلْ فِي هَذِهِ الْعُلُوْمِ مَاَت مُصِرًّا عَلَى الْكَبَائِرِ وَهُوَ لاَ يَعْلَمُ
“Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang ilmu ini (ilmu sufi), nescaya dia akan mati dalam keadaaan berterusan melakukan dosa besar, sedangkan dia tidak mengetahuinya.”
Justeru, berusahalah untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat dan mintalah perlindungan daripada ilmu yang tidak bermanfaat kerana di dalam sebuah Khabar yang masyhur, Rasulullah s.a.w bersabda :
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ
“ Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”
* Kata-kata hikmah ini diambil daripada kitab karangan al-Allamah Ibn Ataillah as-Sakandari yang berjudul “Syarah Hikam Ibn Ataillah as-Sakandari”. Semoga Allah kitab-kitab karanganya menjadi pedoman manusia hinggalah hari kiamat. Insyaallah