Photobucket
!أهلا وسهلا Ya Allah, sesungguhnya aku mulai sedar bahawa betapa berharganya nikmat nafas yg Engkau beri ini. Kerana tanpa nikmatMu ini, mgkin tdk akn ku merasai manisnya ibadahku utkMu. Ya Rahman Ya Rahim, andai ada lg rezeki bgku, ckupknlh shgga bertemunya diriku dgn pengakhiran Khusnul Khatimah. Amin.. Moga kalian dpt mengambil manfaat coretan dr blog nie..

Monday, May 9, 2011

Penganugerahan Tasbih Dan Kefahamannya


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan penerus perjuangan Baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.
Ramai di kalangan kita yang masih belum mengetahui penggunaan tasbih, sama ada ianya berasal daripada sunah ataupun sebaliknya. Sama-sama kita ikuti perbahasannya, semoga ianya memberi faedah dan kefahaman kepada kita, insya-Allah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi, al Nasaei dan al Hakim, dan ia disahihkan daripada Ibnu Amru s.a.w , beliau berkata :
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْقِدُ التَّسْبِيْحَ بِيَدِهِ
“Saya melihat Nabi s.a.w. mengira tasbih dengan tangannya.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Abu Daud, al Tirmizi dan al Hakim daripada Yusirah r.a. – beliau salah seorang wanita muhajirin – berkata : Sabda Rasulullah s.a.w. :
عَلَيْكُنَ بِالتَّسْبِيْحِ وَالتَّهْلِيْلِ وَالتَقْدِيْسِ، وَلاَ تَغْفَلْنَ فَتَنْسَيْنَ التَّوْحِيْدِ، وَاعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنـَّهُنَ مَسْئُوْلاَتٌ وَمُسْتَنْطَقَاتٌ
“Hendaklah kalian sentiasa bertasbih, bertahlil dan mensucikan Allah. Jangan sekali-kali kalian lalai maka kalian akan lupa kepada tauhid. Hendaklah kalian mengiranya dengan hujung-hujung jari kerana ia akan disoal dan akan berkata-kata (paad hari Kiamat kelak).”
Diriwayatkan oleh al Tirmizi, al Hakim dan al Tabrani daripada Safiyyah r.a. berkata:
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. masuk menemui saya, sedang di hadapan saya terdapat 4000 biji-biji buah tamar yang saya gunakan untuk bertasbih. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apakah ini, wahai anak perempuan Huyai?” Saya menjawab, “Saya bertasbih dengannya.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya saya telah bertasbih semenjak saya meninggalkan kamu lebih banyak daripada ini.” Saya berkata, “Ajarlah saya, wahai Rasulullah s.a.w.? Rasulullah s.a.w, “Sebutlah :
سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ مِنْ شَيْءٍ
“Maha suci Allah sebanyak bilangan segala yang diciptakanNya dari segala sesuatu.” Hadis ini juga adalah sohih.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al Tirmizi; beliau menyatakan hadis ini bertaraf hasan, al Nasae, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al Hakim; beliau mensohihkannya daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. :
“Pada suatu hari, beliau bersama Nabi s.a.w. masuk ke rumah seorang wanita. Di hadapannya terdapat biji-biji yang digunakan untuk bertasbih. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,”Adakah kamu mahu saya khabarkan kepada kamu apa yang lebih mudah bagi kamu dan lebih afdhal daripada ini?” Sebutlah :
سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِي السَّمَاءِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا خَلَقَ فِيْ الْأَرْضِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا بَيْنَ ذَلِكَ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا هُوَ خَالِقٌ، اللهُ أَكْبَرُ مِثْلُ ذَلِكَ، وَالْحَمْدُ للهِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ الله مِثْلُ ذَلِكَ، وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ مِثْلُ ذَلِكَ
“Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di langit. Maha suci Allah sebanyak bilangan kejadian Allah di bumi. Maha suci Allah sebanyak kejadian Allah di antara kedua-duanya. Maha suci Allah sebanyak bilangan Dia adalah penciptanya. Allah Maha Besar seperti itu juga. Segala puji bagi Allah seperti itu juga. Tiada Tuhan melainkan Allah seperti itu juga. Tiada kekuatan melainkan pertolongan Allah seperti yang demikian itu juga.”
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al Zuhd, telah menyampaikan kepada kami ‘Affan, telah menyampaikan kepada kami Abdul Wahid ibn Ziyad daripada Yunus ibn ;Abid daripada bondanya berkata ;
رَأَيْتُ أَبَا صَفِيَّةَ – رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ جَارَنَا – قَالَتْ : فَكَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى
“Saya telah melihat Abu Sofiyyah r.a. – seorang lelaki dari sahabat Nabi s.a.w. dan dia adalah jiran kami. Beliau berkata, “Beliau sentiasa bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”
Dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Hakim ibn al Dailami:
أَنَّ سَعْدَ بْنِ أَبِيْ وَقَّاصٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يُسَبِّحُ بِالْحَصَى
“Sesungguhnya Sa’ad ibn Abi Waqqas r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam al Musannaf, daripada hamba Sa’ad r.a bahawa Sa’ad r.a. bertasbih dengan menggunakan batu-batu kecil atau pun biji-biji buah.
Berkata Ibnu Sa’ad di dalam al Tabaqaat : “Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidillah ibn Musa, telah menceritakan kepada kami Israil daripada Jabir r.a. daripada perempuan yang telah menceritakan kepadanya, daripada Fatimah binti al Husain ibn Ali ibn Abi Talib r.a, bahawa beliau bertasbih dengan menggunakan benang yang disimpul.
Diriwayatkan oleh Abdullah ibn al Imam Ahmad di dalam Zawaid al Zuhd dari jawaln Nu’aim ibn Muhriz ibn Abi Hurairah daripada datuknya Abu Hurairah r.a , bahawa beliau mempunya benang yang terdapat padanya dua ribu simpulan. Maka beliau tidak tidur melainkan setelah bertasbih dengannya.
Diriwayatkan oleh Ahmad di dalam al Zuhd, telah menceritakan kepada kami Miskin ibn Nakir, telah menceritakan kepada kami Thabit ibn ‘Ajlan daripada al Qasim ibn Abdur Rahman, berkata :
Bahawa Abu Darda’ r.a. mempunyai biji-biji tamar ‘ajwah di dalam uncangnya. Apabila beliau solat Subuh, beliau akan mengeluarkannya satu persatu untuk bertasbih dengannya sehinggalah biji-biji itu habis.
Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad daripada Abi Hurairah r.a., bahawa beliau sering bertasbih dengan biji-biji yang bercampur warna hitam dan putih.
Al Dailami menyebut di dalam Musnad Firdaus dengan sanadnya sehingga kepada Ali r.a. (marfu’):
نِعْمَ الْمُذَكِّرُ السُّبْحَةُ
“Sebaik-baik benda yang boleh mengingatkan kepada Allah ialah tasbih.”
Diriwayatkan dari jalan Abi Nadhrah daripada seorang lelaki daripada al Zafawah berkata:
“Saya singgah di rumah Ibrahim r.a. dan bersamanya terdapat sebuah uncang yang berisi batu-batu kecil- atau biji-biji buah. Maka beliau bertasbih dengannya sehingga habis.”
Diriwayatkan daripada Zadan berkata : Saya mengambil daripada Ummu Ya’fur tasbih-tasbihnya. Apabila saya menemui Ali r.a. beliau berkata ; “Kembalikan semula tasbih-tasbih Ummu Ya’fur.”
Di dalam kitab Tahfah al ‘Ibad dan kitab karangan mutakhir pada zaman al Jalal al Bulqini fasal yang baik mengenai tasbih. Pengarang berkata di dalam kitab tersebut sebagaimana nasnya:
Berkata sebahagian ulama: Mengira tasbih dengan hujung-hujung jari lebih afdhal daripada tasbih berdasarkan hadis Ibnu Umar r.a. Tetapi dikatakan: Sekiranya orang yang bertasbih aman daripada tersalah maka mengira dengan hujung-hujung jari lebih afdhal. Sekiranya tidak, menggunakan tasbih lebih utama.
Sekiranya menggunakan tasbih tidak ada kelebihannya melainkan hanya mengikut perbuatan para sadah (ulama’), untuk masuk ke dalam perjalanan mereka dan mendapat keberkatan mereka, sudah tentu penggunaan tasbih dengan perkiraan ini antara perkara yang terpenting dan sangat dituntut. Kenapa tidak? Kerana tasbih merupakan alat yang mengingatkan seseorang kepada Allah. Apabila seseorang itu melihat tasbih, maka dia akan mengingati Allah. Ini adalah sebesar-besar faedah tasbih. Oleh sebab itulah, sebahagian salaf menamakannya muzakkirah (pengingat kepada Allah). Ada yang menamakannya Habl al Wasl (tali yang menyampaikan kepada Allah), manakala sebahagian yang lain menamakannya sebagai Rabitah al Qulub (Pengikat/Penambat Hati dengan Allah).
Di antara faedah tasbih juga, ia membantu seseorang supaya sentiasa kekal berzikir. Setiap kali dia melihatnya, dia akan ingat bahawa ia adalah alat untuk berzikir. Maka ia akan memandu dan menariknya supaya berzikir. Alangkah baiknya, sebab yang menyampaikan seseorang kepada ingatan kepada Allah. Begitu juga contohnya, dengan penggunaan tongkat yang mana mengingatkannya kepada kematian, kerana penggunaan tongkat itu biasanya dinisbahkan kepada orang-orang tua yang kurang berupaya dan akan mengalami saat kematian. Ini akan menginsafkan pengguna tongkat tersebut, lalu memperbanyakkan amalannya kepada Allah s.w.t.
Tidak pernah dinaqalkan walau dari seorang Salaf mahupun Khalaf tegahan atau larangan daripada membilang zikir dengan tasbih, bahkan kebanyakan mereka membilangnya dengan menggunakan tasbih. Mereka juga tidak pernah berpendapat bahawa ia perbuatan yang makruh.
Diceritakan, sebahagian daripada mereka mengira-ngira tasbih mereka. Maka dikatakan kepada mereka, “Adakah kamu berkira-kira dengan Allah?” Jawabnya, “Tidak, tetapi saya mengira untuk Allah.”
Maksudnya, kebiasaannya kebanyakan zikir yang dikira dan didatangkan oleh Sunah yang mulia tidak dapat dikira hanya dengan menggunakan jari-jari. Jika ia dapat dikira dengan jari sekalipun, sudah pasti seseorang itu akan disibukkan dengan kiraanya sehingga menghilangkan kekhusyukan berzikir. Inilah maksudnya. Wallahu A’lam.
(Kitab bertajuk tasbih karangan Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al Maliki)
(Kitab asal bertajuk al Minhah fi al Subhah karangan Al Imam Al Hafiz Jalaluddin As Suyuti r.h )
(Diolah sedikit daripada hamba yang hina ini dan mengharapkan ilmu daripadaNya)

No comments:

Post a Comment